INI yang biasa anda dengar. Kedutan kulit dikatakan berlaku pada dermis (terletak di bawah epidermis) yang terdiri daripada kolagen. Kolagen yang mencukupi bertanggung-jawap menjadikan kulit elastik dan licin.

Pembinaan kolagen berkadar songsang dengan peningkatan usia dan menyebabkan kedutan kulit semakin bertambah. Dari sudut ilmu dermatologi pula, penuaan kulit dikatakan berpunca daripada kekurangan dan ketidaksihatan kolagen, elastin (menjaga keelastikan dan keanjalan kulit) glycosaminoglycan (GAG, menghidrasi kulit). Berdasarkan ilmu tersebut penuaan kulit berpunca daripada pelbagai faktor yang melibatkan proses penuaan intrinsik (dalaman) dan extrinsik (luaran).

Merosot


Penuaan intrinsik merupakan proses penuaan semula jadi yang berlaku selama bertahun-tahun. Pada usia 20 an setiap orang mengalami kemerosotan daripada segi pembinaan kolagen iaitu kira-kira pada kadar satu peratus setiap tahun.

Keadaan tersebut menyebabkan fungsi kelenjar-kelenjar peluh dan minyak semakin berkurangan, penurunan pembinaan elastin dan pembentukan GAG. Pembentukan kedutan kulit berpunca daripada penuaan intrinsik berlaku pada setiap orang dan kehilangan komponen-komponen tersebut adalah rendah.

Kesan penuaan intrinsik ditambah oleh penuaan ekstrinsik berpunca daripada kerosakan akibat pendedahan kepada cahaya matahari atau persekitaran misalnya merokok atau pencemaran.

Penuaan ekstrinsik bermanifestasi antara lain sebagai kehilangan kolagen, elastin dan GAG yang jauh lebih pantas berbanding akibat penuaan intrinsik. Kedua-dua gabungan proses penuaan intrinsik dan extrinsik menyebabkan kulit menjadi nipis, kasar, rupa tidak sekata, bertompok-tompok dan berkedut.

Losen


Ramai pengguna yang menggunakan losen dan bahan perapi diperbuat dari bahan kimia berasaskan petroleum. Penggunaannya ke atas sel-sel kulit dipercayai boleh menimbulkan masalah terutama kepada yang sensitif.

Misalnya, lama-kelamaan kerosakan akan terbentuk dalam bentuk penyakit kulit, penuaan kulit yang lebih pantas di samping bahan-bahan bertoksik berkumpul dalam beberapa organ.

Berikut penulis berkongsi beberapa kaedah alternatif yang dipercayai dapat membantu melambatkan pembentukan kedutan kulit. Ia efektif dan tidak mahal.

Makanan berantioksidan


Ia berfungsi menderma elektron kepada radikal bebas yang merosakkan kulit. Vitamin A, C dan E dan beta karotena (provitamin A). Pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan pula kaya dengan bioflavonoid yang bersifat antioksidan. Beberapa contoh makanan berantioksidan termasuk beri biru, bayam Eropah, kale, buah berangan, kanberi, buah sitrus, mempelam, karot dan buah naga merah. Minyak hati ikan kod dan jus delima juga kaya antioksidan yang baik untuk kesihatan kulit.

Amalan mengambil makanan berantioksidan tinggi mengurangkan risiko kerosakan kulit. Amalan berterusan menyebabkan sesetengah orang tidak perlu menyapu sunscreen.

Makanan berkolagen


Kehilangan kolagen boleh diganti dengan mengambil makanan berkolagen tinggi secara berterusan misalnya mengambil rumpai laut seperti wakame, nori, dulse, hijiki dan beberapa spesis rumpai laut Sabah. Sup tulang yang disediakan dengan merebus tulang pada suhu rendah selama berjam-jam (bone broth) juga sumber kolagen yang baik di samping kandungan pelbagai mineral. 

Berhenti merokok


Merokok berbahaya kepada kesihatan. Jika anda merokok berusahalah untuk berhenti. Asap rokok kaya dengan beribu bahan kimia reaktif yang boleh merosakkan DNA. DNA yang rosak dipercayai menyebabkan proses ekspresi gen untuk pembinaan kolagen terganggu. Asap rokok terpakai lebih berbahaya daripada asap rokok yang dihisap perokok.

Sentiasa hidrasi


Air yang mencukupi sepanjang hari amat penting kerana ia membantu detoks. Air mineral, air masak, air kelapa dan teh terutama yang tidak ditambah gula merupakan jenis air yang bermanfaat kepada kesihatan keseluruhan termasuk kulit. Teh serbuk kunyit asli, cengkih atau kayu manis juga pilihan yang baik.

Kurangkan gula


Gula berlebihan akan bergabung dengan kolagen melalui proses dikenali sebagai glycation. Sebatian kimia baharu yang terbentuk tidak berfungsi sebagaimana kolagen asal. Jadi kurangkanlah pengambilan gula.

Pelembap tidak toksik


Minyak kelapa ialah pelembap yang baik. Ia berminyak dan sesuai dengan kulit kering. Minyak argan yang bersifat antioksidan dan antiradang pula sesuai dengan kulit sederhana dan berminyak kerana ia tidak terlalu berminyak sebagaimana minyak kelapa. Minyak-minyak lain yang sesuai ialah minyak biji anggur, avokado dan jojoba. Mentega koko (cocoa butter) yang kaya dengan polifenol juga adalah pilihan yang baik.

Lemak tepu


Mengamal pengambilan minyak kelapa dan mentega susu asli adalah langkah bijak. Lemak tepu menjadikan kulit anda lebih elastik dan kebal serangan radikal bebas termasuk pancaran UVB cahaya matahari.

Santan


Sentalan tubuh terdiri daripada gabungan santan kelapa, telur, gula merah (molasses) dan daun selasih dilakukan seminggu sekali boleh mengembalikan kesegaran kulit.

NOTA: Pengamalan kaedah-kaedah yang dicadangkan harus disertai dengan gaya hidup sihat termasuk antara lain tidak makan makanan terproses (ditambah pewarna tiruan, gula/karbohidrat tinggi), guna garam Himalaya dalam masakan, mengurangkan makan bergoreng terendam lama, mengawal stres dengan bijak, tidur mencukupi dan eliminasi tinja yang baik (elak sembelit). Perubahan gaya hidup sebaik-baiknya dimulakan pada usia muda kerana pada usia tua perubahan positif mungkin berlaku pada kadar amat perlahan. -Sinarharian

BAHRAIN SAMAH, MH, MD (AM) - Pendidik/penulis genre perubatan preventif/alternatif


Post a Comment